href="http://taskasehatisejiwa.blogspot.com/">borang

Isnin, 24 Jun 2013

info dari internet.

Biarkan  bayi  bergerak  sendiri 

BIJAK...merangkak antara proses berjalan.

MEMANG  comel  apabila  melihat  bayi  bergerak  ke  sana  sini  dengan  laju  sambil  berteriak  gembira  ketika  duduk  di  dalam  kerusi  beroda  (walker)  bayi  biarpun  masih  belum  mampu berjalan  sendiri.

        Walaupun  ia  mungkin  dilihat  membantu   bayi   belajar   berjalan,  sebenarnya  penggunaan  kerusi  ini  tidak  memberikan  sebarang  kebaikan  kepada  bayi,  sebaliknya mampu  memudaratkan  dirinya.

        Sebagai  ibu  bapa  yang  bertanggungjawab  dan  hanya  mahukan  yang  terbaik  untuk anak-anak,  setiap  peralatan  bayi  perlu  diperhalusi  kepentingan  dan  manfaat  penggunaannya  kepada  perkembangan  tumbesaran  bayi.

        Ada   ibu   bapa   berasa   meletakkan   anaknya  di  dalam   kerusi   beroda  itu  bukan saja  mampu  ‘mempercepatkan’  anaknya  belajar  berjalan,  malah  ia  mampu  menghiburkan anaknya.



         Hakikatnya,  ibu  bapa   seharusnya  tahu  bahawa  penggunaan  kerusi  beroda  itu sebenarnya   melambatkan  perkembangan  motor  tubuh  anaknya,  lebih  parah  ia  juga melambatkan  perkembangan  mental  bayi.


       
Kerusi  beroda  bayi  memberi  kebebasan  bergerak  kepada  bayi  melebihi  had keupayaannya  sendiri  dan  lebih  pantas  daripada  tindakan  yang  boleh  diambil  ibu  bapa untuk  membantu  sekiranya  berlaku  kemalangan.

         Pada  1994,  ketika  kerusi  bayi  sangat  popular  di  Amerika  Syarikat  (AS),  Suruhanjaya  Keselamatan  Produk  Pelanggan  mengumumkan  kerusi  berkenaan bertanggungjawab  menyebabkan  kecederaan  kepada  bayi  berbanding  produk  bayi  yang  lain.

        Jenis  kecederaan  yang  direkodkan  antaranya  membabitkan  cedera  kepala,  patah tulang,  patah  gigi,  melecur  dan  jari  tersepit,  hingga  kes  lebih  ekstrem  membabitkan pemotongan  bahagian  tubuh  atau  kematian.

       
Kebanyakan  kecederaan  yang  berlaku  disebabkan  bayi  terjatuh  dari  tangga  selain cedera  akibat  bayi  mencapai  objek  panas,  berat  dan  beracun.

          Disebabkan   bahaya   yang   mengancam   nyawa   bayi,   Kanada   mengambil   keputusan   mengharamkan   peralatan   terbabit   di   negara   itu   pada   2004   dan   sesiapa yang   didapati   memiliki   peralatan   bayi  itu  akan   berhadapan   dengan   denda  sehingga RM307,035 (CAD $100,000) atau  enam   bulan   penjara.

        Namun   di   sesetengah  negara   lain,   kerusi    bayi   masih   digunakan   secara   meluas   dan   kecederaan   pada    bayi   akibat   penggunaannya    terus   berlaku.

         Pada  usia  antara  enam  bulan  hingga  setahun,  bayi   yang  sihat  mempunyai  keinginan  kuat  untuk  bergerak  di  atas  kawasan  rata.   
 Pada  mulanya  ia  memang  sukar  bagi  mereka  kerana  perlu  berusaha  untuk menggerakkan  anggota  badan,  kaki,  tangan  dan  menyempurnakan  pergerakan  seperti meregang,  berguling  dan  merangkak.

          Bayi  berasa  puas  apabila  mereka  berjaya  mencapai  matlamat  mereka  seperti  ingin  memegang  mainan  yang  berada  di   satu  sudut  ruang,  selepas  belajar  menyusun pergerakan  untuk  sampai  ke  mainan  itu.  Kemudian  bayi  akan  meneruskan  perkembangan pergerakannya  dengan  berusaha  untuk  berdiri  pula.

             Namun  penggunaan  kerusi  beroda  bayi  itu  merampas  semua  keajaiban      pembelajaran  penggunaan  motor  tubuh  bayi  kerana  ia  melangkau  semua  proses  yang sepatutnya  dipelajari  dan  difahami  secara  perlahan-lahan  oleh  bayi.

         Kerusi   beroda  itu  menyebabkan  mereka  terus  berdiri  tidak  kena  pada  masanya, tanpa  belajar  pergerakan  lain  terlebih  dulu,  menyebabkan  bayi  lambat  berkembang  dari segi  mental.
             Kekurangan  terbesar  kepada  bayi   yang  menggunakan  peralatan  terbabit  adalah mereka  menunjukkan  perkembangan  yang  lambat  dari  segi  mental  biarpun  selepas  mereka  pandai  berjalan  sendiri.


       Kejutan  terbesar  kepada  ibu  bapa  adalah  anak  mereka  yang   menggunakan  kerusi beroda   itu  menunjukkan  perkembangan  10  bulan  lebih  lambat  selepas  sudah  tahu berjalan.

            Pakar    perunding   pediatrik,  Dr  Yong  Junina   Fadzil   berkata,  ramai  ibu   bapa masih   salah  faham  dan  menganggap  penggunaan  kerusi   beroda   itu  akan    dapat mempercepatkan   pergerakan  dan   mengajar    anak  mereka  berjalan   dengan  lebih  pantas sedangkan  hakikatnya  ia   tidak    sedemikian.
 
         Katanya,  penggunaan   kerusi  beroda  bayi  itu  melambatkan  lagi  perkembangan  bayi mereka  dari  segi  fizikal  serta  mental.  “Lagipun  penggunaannya  sangat  bahaya  dan  bayi  boleh  terdedah  kepada  risiko kemalangan  yang  boleh  mencederakan  kepala  serta  mengakibatkan  pendarahan  dalaman, seterusnya  melambatkan  lagi  perkembangannya.

              “Bayi  yang   menggunakan    kerusi   beroda   ini   tidak   belajar  berjalan  sebenarnya  kerana  kaki  mereka  tidak  betul-betul  bertapak  di  lantai,  sebaliknya  hanya hujung  jari  yang  digunakan  untuk  bergerak,” katanya.
 Bayi  juga  mudah  terdedah  kepada perkara  yang  membahayakan  diri  mereka  sekiranya  mereka  bergerak  dengan  laju  tanpa kawalan   kerana  mereka  berdepan  risiko  tinggi  untuk  terjatuh.

         Bayi   yang   terjatuh   dan   terkena   di  bahagian   kepala   boleh   mengalami pendarahan   otak   dan  ada  kes  yang  menyebabkan  bayi  mati  akibat  pendarahan  otak selepas  terjatuh  daripada  kerusi  beroda  itu.

          “Ada  ibu  bapa  yang  mengikat  kerusi  itu  dengan  tali  kerana  tidak  mahu  bayi bergerak  laju  tetapi  ia  juga  boleh  menyebabkan  mereka  cedera  kerana  kerusi  itu  boleh  terbalik  ke   depan  dan  bayi  akan   tersembam  ke  lantai.

          “Ibu  bapa  seharusnya  sedar  mereka  tidak  perlu  penggunaan  kerusi  beroda   itu untuk  mempercepatkan  perkembangan  bayi  kerana  ia   langsung  tidak  memberi  apa-apa manfaat  kepada  bayi,  sebaliknya  bahaya  dan  boleh  mencederakan  bayi,” katanya.

        Dr  Yong  Junina  berkata,  cara  terbaik  untuk  membantu  bayi  berkembang  dengan lebih  cepat  adalah  dengan  meletakkan  bayi  di  atas  permaidani  atau  tilam  nipis  supaya mereka  boleh  berkembang  mengikut  kadar  sendiri.

         Bayi  perlu  belajar  meniarap,  merangkak  dan  berjalan  sendiri  bagi  membantu perkembangan  fizikal  dan  mental  yang  sihat  serta  menjadikan  mereka  lebih  bijak.

              “Jika  gunakan  kerusi  beroda  itu,  bayi  tidak  belajar  proses  meniarap  dan merangkap   dan  ini  seterusnya  mengganggu  perkembangan  dan  kebolehan  bayi menggunakan  mental  dan  fizikal  untuk  bergerak,”  katanya.


Jumaat, 14 Jun 2013

Gunakan pendekatan psikologi kepada kanak - kanak








Dalam menjayakan usaha mendidik anak menjadi seorang insan yang berakhlak mulia, anda perlukan pendekatan psikologi. Caranya sungguh mudah tetapi menuntut komitmen tidak berbelah bahagi daripada diri anda sendiri. Gunakan ayat-ayat tertera setiap kali berkomunikasi dengan anak di kala anda berhadapan dengan masalah yang ditimbulkan oleh si manja.

1. “Buatlah Pilihan Sekarang.”
Frasa ini boleh digunakan ketika menyuruh anak melakukan sesuatu. Ataupun ketika mahu menghentikan apa yang dilakukannya pada itu. Cara ini dapat mengajarnya supaya bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan. Misalnya, dia dan rakannya begitu bising bermain di dalam rumah. Jadi, anda mahu mereka bermain di luar agar anda boleh menyiapkan kerja-kerja rumah dengan tenang. Namun, anak anda masih berdegil.


“Kakak, kalau tak boleh main diam-diam, pergi main di luar.” Jika dia masih berdegil, anda boleh membuat tindakan susulan dengan berkata, “Mama rasa, kakak memang nak main di luar.” Cara ini bukan sahaja mengajarnya tentang kesan dan akibat tetapi melatih dia agar bijak memilih dan bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan.

2. “Mama Sayang Kakak dan mama rasa Cara Kakak Tu Tak Betul.”
Ayat ini dimulakan dengan pujian dan diakhiri dengan nasihat. Inilah cara terbaik untuk memujuk anak yang ada kalanya menunjuk perangai. Dalam keadaan tertentu, dia tidak dapat berfikir dengan baik. Selain itu, kata-kata ini juga dapat menyedarkan anak supaya tidak melakukan perkara yang tidak baik berulang kali. Dia akan faham, jika dia melakukan perkara yang dilarang, bermakna dia akan menjadi orang yang tidak disenangi. Inilah cara terbaik bagaimana anda mendisiplinkan anak dengan cara halus dan lembut.

3. “Boleh Kakak Tolong Mama?”
Jika anak mengganggu ketika anda memasak di dapur, apa kata ucapkan ayat di atas. Ajak mereka membantu anda membuat kerja yang mudah dan ringkas. Biar dia membantu mengemas meja makan dan menyediakan pinggan, mangkuk, sudu dan sebagainya. Ini akan membuatkan dia rasa dipercayai dan bersedia menerima sebarang tanggung jawab.

4. “Apa Sebenarnya Yang Kakak Nak Cakap?”
Bila anak marah, macam-macam perkataan yang terhambur dari mulutnya. “Mama ni teruklah!” atau “ Kakak benci mama!”. Kata-kata ini terkeluar kerana ketika itu dia tidak dapat berfikir dengan baik. Jadi, jangan anggap anak maksudkan apa yang dikatanya.

Cari punca mengapa dia berkata sedemikian. Caranya mudah saja. Misalnya, anak marah bila anda menyuruhnya tidur. Tanya dengan lembut. “Apa yang membuatkan kakak marah sangat pada mama? Sebab kakak tak boleh tengok TV?” Kemudian, jelaskan mengapa anda menyuruh dia tidur. “Mama bukan tak bagi kakak tengok TV. Hari dah lewat, esok kakak nak pergi sekolah. Kalau tidur lewat nanti di sekolah, kakak mengantuk pula.” Penjelasan perlu diberikan agar dia tahu bahawa tindakan yang anda sememangnya wajar demi kebaikannya.

5. “Kakak Kena Faham. Tidak Semua Orang Sama.”
Bila anak mula merajuk dan mengatakan anda tidak berlaku adil kepadanya, ayat ini sangat bagus untuk digunakan sebagai alasan. Anda perlu bantu anak supaya faham bahawa manusia ini dijadikan berbeza-beza. Maka, layanan pun berbeza mengikut keadaan dan tempat.

Misalnya, anak anda bengang bila anda membelikan adiknya sepasang kasut bola. Sudah semestinya anak perempuan tidak memerlukan kasut bola kerana dia tidak bermain bola sepak seperti kanak-kanak lelaki. Meskipun begitu, anda perlu berwaspada dalam soal melayan anak-anak. Jangan sampai timbul sebarang perbezaan yang menjurus kepada melukakan perasaan.

tip memujuk anak yang sedang merajuk ....


                                          


Papa dan Mama mesti biasa dengan situasi si kecil merajuk kan? Kadang kala masih usia bayi lagi, si anak sudah pandai merajuk. Amboi pandainya anak mama.
Comel sahaja mimik muka mereka bila merajuk tapi bila sudah sampai tahap berguling-guling di depan orang ramai, mama mula hendak naik angin. Bagaimanapun sebelum mama yang naik angin lebih baik mama penuhkan dulu ilmu menangani kerenah anak merajuk bila sahaja dikurniakan cahaya mata.
Agak-agaknya apa punca si kecil merajuk? Pandai pula dia merajuk ya. Belajar daripada siapa pulalah? Mungkin itu antara persoalan yang bermain di fikiran anda bila si comel mula merajuk. Ada bermacam-macam-macam jenis tahap merajuk si kecil.
Jom papa dan mama kita kongsi tip tangani anak merajuk.
1.      Mula-mula sekali elakkan anak-anak daripada merajuk.
Maksudnya cuba beri perhatian padanya. Kalau anak yang sudah pandai bercakap, layanlah apa yang cuba hendak disampaikan. Jika anak masih peringkat usia bayi, sebaiknya penuhi segala kemahuannya seperti mahu mainan, susu, tidur dan sebagainya.

2.      Seeloknya kenal pasti apa punca dia merajuk.
Kadang kala kita sebagai orang tua tidak perasan secara tidak sengaja telah melukakan hati si anak. Jadi, bila tengok si manja dah tarik muncung 14, eloklah tanya dengan nada lembut dan banyakkan bersabar. Janganlah pula ditanya dalam nada yang kasar atau perli. Anak-anak akan semakin berkecil hati dan terus merajuk.

3.      Pujuklah anak yang merajuk.
Elakkan daripada terus memarahi, memukul atau menghukumnya kerana ia akan menambahkan lagi rajuknya. Lebih teruk lagi, ia boleh mendatangkan trauma kepada anak.

4.      Eh, sudah dipujuk masih tetap merajuk?
Memang mencabar. Tetapi kalau dalam situasi begini, seeloknya biarkan mereka seketika. Mungkin dalam masa 5 hingga 10 minit dibiarkan barulah dipujuk semula.

5.      Kalau anak masih terus merajuk?
Kalau sudah sampai tahap tak makan saman, kita pula yang hendak marah. Jadi untuk mengelakkan daripada kejadian lebih buruk, cuba suruh orang lain pula (yang ada dalam rumah itu) untuk memujuknya.

Kalau semua panduan berikut tidak berkesan, tiada salahnya papa dan mama gunakan sedikit kekerasan sekadar untuk mengajar mereka. Tetapi selepas keadaan reda, terangkan mengapa mereka dihukum dan apa kesalahan mereka (sesuai untuk anak yang sudah faham).

comelnya anakku .....



                          
                                  
Kepada yang baru menimang cahaya mata perempuan, berikut antara aksesori ‘wajib’ yang mama suka belikan untuk si anak supaya bertambah kecomelannya. Antara tip ketika membeli pakaian dan aksesori anak iaitu

·         Pilih pakaian diperbuat daripada kain kapas kerana mudah menyerap peluh.
·         Beli aksesori seperti cekak rambut yang selesa dipakai dan bercorak ringkas.
·         Jangan pakaikan anak perempuan kasut bertumit tinggi kerana ia boleh membuatkan kaki anak cenderung ke depan. Ini mengganggu pertumbuhan jari-jari kaki.

     






Selasa, 11 Jun 2013

POKOK EPAL DAN SEORANG KANAK - KANAK


                               
                             




Suatu masa dahulu, terdapat sebatang pokok epal yang amat besar. Seorang kanak-kanak lelaki begitu gemar bermain-main di sekitar pokok epal ini setiap hari. Dia memanjat pokok tersebut, memetik serta memakan epal sepuas-puas hatinya, dan adakalanya dia berehat lalu terlelap di perdu pokok epal tersebut. Budak lelaki tersebut begitu menyayangi tempat permainannya. Pokok epal itu juga menyukai budak tersebut.

Masa berlalu... budak lelaki itu sudah besar dan menjadi seorang remaja. Dia tidak lagi menghabiskan masanya setiap hari bermain di sekitar pokok epal tersebut. Namun begitu, suatu hari dia datang kepada pokok epal tersebut dengan wajah yang sedih.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.

"Aku bukan lagi kanak-kanak, aku tidak lagi gemar bermain dengan engkau," jawab budak remaja itu.

"Aku mahukan permainan. Aku perlukan wang untuk membelinya," tambah budak remaja itu dengan nada yang sedih.

Lalu pokok epal itu berkata, "Kalau begitu, petiklah epal-epal yang ada padaku. Jualkannya untuk mendapatkan wang. Dengan itu, kau dapat membeli permainan yang kau inginkan."

Budak remaja itu dengan gembiranya memetik semua epal di pokok itu dan pergi dari situ. Dia tidak kembali lagi selepas itu. Pokok epal itu merasa sedih.

Masa berlalu...

Suatu hari, budak remaja itu kembali. Dia semakin dewasa. Pokok epal itu merasa gembira.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.

"Aku tiada masa untuk bermain. Aku terpaksa bekerja untuk mendapatkan wang. Aku ingin membina rumah sebagai tempat perlindungan untuk keluargaku. Bolehkah kau menolongku?" Tanya budak itu.

"Maafkan aku. Aku tidak mempunyai rumah. Tetapi kau boleh memotong dahan-dahanku yang besar ini dan kau buatlah rumah daripadanya." Pokok epal itu memberikan cadangan.

Lalu, budak yang semakin dewasa itu memotong kesemua dahan pokok epal itu dan pergi dengan gembiranya. Pokok epal itu pun tumpang gembira tetapi kemudiannya merasa sedih kerana budak itu tidak kembali lagi selepas itu.

Suatu hari yang panas, seorang lelaki datang menemui pokok epal itu. Dia sebenarnya adalah budak lelaki yang pernah bermain-main dengan pokok epal itu. Dia telah matang dan dewasa.

"Marilah bermain-mainlah di sekitarku," ajak pokok epal itu.

"Maafkan aku, tetapi aku bukan lagi budak lelaki yang suka bermain-main di sekitarmu. Aku sudah dewasa. Aku mempunyai cita-cita untuk belayar. Malangnya, aku tidak mempunyai bot. Bolehkah kau menolongku?" tanya lelaki itu.

"Aku tidak mempunyai bot untuk diberikan kepada kau. Tetapi kau boleh memotong batang pokok ini untuk dijadikan bot. Kau akan dapat belayar dengan gembira," cadang pokok epal itu.

Lelaki itu merasa amat gembira dan menebang batang pokok epal itu. Dia kemudiannya pergi dari situ dengan gembiranya dan tidak kembali lagi selepas itu.

Namun begitu, pada suatu hari, seorang lelaki yang semakin dimamah usia, datang menuju pokok epal itu. Dia adalah budak lelaki yang pernah bermain di sekitar pokok epal itu.

"Maafkan aku. Aku tidak ada apa-apa lagi nak diberikan kepada kau. Aku sudah memberikan buahku untuk kau jual, dahanku untuk kau buat rumah, batangku untuk kau buat bot. Aku hanya ada tunggul dengan akar yang hampir mati..." kata pokok epal itu dengan nada pilu.

"Aku tidak mahu epalmu kerana aku sudah tiada bergigi untuk memakannya, aku tidak mahu dahanmu kerana aku sudah tua untuk memotongnya, aku tidak mahu batang pokokmu kerana aku berupaya untuk belayar lagi, aku merasa penat dan ingin berehat," jawab lelaki tua itu.

"Jika begitu, berehatlah di perduku," cadang pokok epal itu.

Lalu lelaki tua itu duduk berehat di perdu pokok epal itu dan berehat. Mereka berdua menangis kegembiraan.

PAPA ! jom main.......


                    
                                    


Bermain juga satu pelajaran buat si kecil. Biasanya bayi menghabiskan banyak masa dengan mama. Apa kata kali ini papa pula yang ambil alih melayani kehendaknya bermain.

Bayi pada usia 0-2 tahun memerlukan sokongan dan dorongan daripada papa dan mama untuk belajar banyak perkara. Selain itu waktu bermain juga menggambarkan kasih sayang yang tidak terhingga buat si kecil.

Meniarap
Ketika bayi baru belajar meniarap, tentu dia akan terasa kesukarannya. Papa jadikan aktiviti ini sebagai satu permainan yang menarik. Penglibatan papa dapat member peluang bayi mengetahui fungsi kaki, tangan dan badannya.

Merangkak
Ketika merangkak, bayi akan menggunakan keempat-empat anggota tangan dan kakinya. Oleh itu, papa perlu luang masa untuk merangkak bersama-samanya kerana proses pembelajarannya akan menjadi lebih seronok.

Belajar duduk
Bayi yang sedang belajar duduk akan memulakan kemahirannya itu dengan menghalakan kakinya luas-luas ke hadapan. Tangannya juga bebas meneroka apa sahaja yang menarik minatnya. Papa boleh gunakan masa ini untuk duduk bersama-samanya dan membelek helaian buku berwarna-warni.

Belajar berdiri & memanjat tangga
Papa perlu peka dengan perubahan pada bayi, sekiranya bayi sudah mampu mengkoordinasi kaki dan tangannya dengan sempurna, anda boleh lakukan aktiviti belajar berdiri dan memanjat agar kemahiran tersebut dapat dimantapkan. Sentiasa mengawasi pergerakan bayi agar dia tidak terjatuh dan tercedera.

Kenal objek & cari bunyi
Papa boleh bermain dengan si kecil menggunakan objek berbunyi. Aktiviti seperti ini boleh membantu bayi memantapkan kemahiran, menghalusi koordinasi dan menguji kecekapannya.

Bermain bola
Pada usia tujuh bulan dan ke atas, bayi anda mudah tertarik melihat bola berwarna-warni bergolek. Ketika usia ini, papa harus melakukan aktiviti menunjuk, memegang dan memberikan semula bola kepada anda.

Dukung terbalik
Dukung secara terbalik secara selamat salah satu aktiviti yang gemar dilakukkan oleh papa kepada bayinya. Percayalah si kecil suka jika dilakukan sedemikian oleh papa bahkan jika terlihat wajah papa, dia akan mengagah minta didukung. Namun pastikan keselamatan anak diutamakan. Aktiviti ini jika sudah biasa dipraktiskan sejak kecil, mampu merangsang koordinasi kaki dan tangan bayi serta membuatkan mereka

Sabtu, 8 Jun 2013

jom masak ' SAYUR ' !





                               





Bertuahnya kalau anak-anak meminta hidangan sayur ketika waktu makan. Jarang sekali kanak-kanak gemar makan sayur. Bagimana caranya untuk membuat si kecil gemarkan sayur?
Sayur-sayuran seakan menjadi musuh utama kanak-kanak. Para ibu janganlah putus asa untuk terus menambat hati anak suka akan sayur.
Membiasakan anak makan sayur-sayur sejak kecil akan membantu mereka menggemari sayur-sayuran apabila besar kelak. Namun begitu, anda perlu lebih kreatif dalam mempelbagaikan hidangan sayur-sayuran tersebut.
Cara alternatif menghidangkan sayur-sayuran kepada anak
*Sup
Sayur-sayuran seperti bayam, sawi, seleri dan kubis sangat sesuai dibuat sup. Untuk merangsang selera anak, campurkan dengan sedikit isi ayam atau telur.

*Goreng
Jika memilih untuk menggoreng sayur, pastikan anda menggunakan sedikit minyak sahaja dan jangan goreng terlalu lama untuk mengelakkan khasiatnya hilang.

*Celur
Anda boleh juga mencelur sayur-sayuran yang sesuai untuk anak makan bersama sos.

*Kukus
Jika mengukus sayur-sayuran, jangan terlalu lama kerana sayur tersebut akan menjadi lembik dan tidak sedap dimakan.

*Stew
Untuk kelainan, anda boleh juga membuat stew sayur-sayuran.

*Salad
Ia cara paling mudah menghidangkan sayur-sayuran. Tambahkan sedikit sos seperti thousand island dan sebagainya untuk membangkitkan selera.

*Kek dan roti
Sekiranya anak adalah penggemar roti atau kek, anda boleh menyediakan kek atau roti berperisa sayur-sayuran seperti kek lobak merah atau roti kentang.

*Jus
Jangan terkejut kerana sayur-sayuran juga boleh dijadikan jus. Apa kata sekali-skala hidangkan anak jus timun dan lobak merah yang dicampur dengan yogurt atau susu. Pasti dia menggemarinya.

cara mudah menidurkan anak anda





Tugas menidurkan anak kecil sangat subjektif. Biasanya bila waktu tidur, si manja lebih suka didakap oleh mama. Tetapi bagaimana kalau waktu mama bekerja luar kawasan? Tentu sahaja papa yang perlu ambil alih tugas itu.
Agaknya bagaimana gaya papa menidurkan anak-anak ya? Tidak dinafikan ada papa yang pakar dalam bab menidurkan anak kecil. Jom kita tengok beberapa gaya tidur anak-anak yang mungkin salah satunya adalah cara anda menidurkan mereka.
Biasanya, anak-anak mudah untuk tidur apabila perut mereka sudah kenyang, lampin tidak basah dan suhu bilik tidak terlalu sejuk atau panas. Bayi sebenarnya tidak banyak ragam untuk tidur.
Bagaimanapun ada juga beberapa halangan membuatkan si manja sukar lena. Salah satunya adalah masalah angin atau kolik. Bayi yang mengalami kolik bukan sahaja tidak mahu tidur, malah akan meragam atau menangis dalam jangka masa yang panjang.
Oleh itu papa dan mama, jangan lupa sendawakan bayi anda selepas menyusu, tuam perut dengan tuam bayi dan sapukan perut mereka dengan minyak telon bagi mengelakkan masalah kembung perut.
Antara cara paling mudah untuk tidurkan anak adalah seperti berikut:
1.      Tidur dalam buaian
Ia adalah cara tidur tradisional yang sudah dipraktiskan sejak turun temurun. Bagaimanapun cara tidur ini perlu diselenggarakan dengan betul bagi memastikan aspek keselamatan bayi terjamin.

2.      Tidur di paha

Anak boleh tidur di paha papa. Biasanya cara ini lebih praktikal bagi anak yang biasa tidur dibuai. Sambil menepuk pahanya, lutut anda digoyangkan. Keadaan yang sama seperti buaian mudah membuat si manja terlena. Untuk lebih selesa letakkan tilam kecil sebelum meletakkan anak di atas paha.

3.      Tidur dalam pelukan
Terdapat dua cara jika menggunakan kaedah ini. Satu, dalam keadaan anda berbaring. Letakkan anak secara meniarap di atas dada dan pusingkan kepala anak sama ada ke kiri atau kanan. Kedua, tidurkan anak dalam pelukan ketika anda sedang berdiri. Letakkan kepala anak di dada anda dan peluknya dengan erat. Berjalanlah sambil mendodoi supaya anak cepat tidur.

4.      Tidur sendiri di atas katil
Cara ini paling mudah dan banyak dilakukan oleh ibu bapa. Sediakan tempat tidur anak. Baringkannya dan tepuk pahanya dengan perlahan. Anda boleh mengiringkan anak ke kiri atau kanan untuk seketika.

AWAS!
Jangan biarkan anak tidur sendirian. Sindrom SID atau Sudden Infant Death boleh berlau di mana-mana tanpa disedari. Perhatikan bayi yang sedang tidur lena sekurang-kurangnya lima minit sekali.

Khamis, 6 Jun 2013

urutan merangsang perkembangan bayi anda


Sentuhan dan belaian mempunyai kuasa magis kerana ia dapat mempengaruhi perkembangan positif terhadap emosi dan psikologi bayi yang diurut.
Amalan urutan dan sentuhan daripada ibu boleh menjadi perangsang kepada perkembangan psikologi dan tumbesaran bayi.
Urutan muncul sebagai rawatan alternatif terbaik memberi perlindungan awal bayi daripada jangkitan. Bahkan ia juga terapi berkesan membantu merangsang perkembangan bayi pra matang.
Kajian ke atas bayi pra matang yang diberikan urutan pada kepala, bahu, belakang badan, kaki dan tangan selama lima minit tiga kali sehari menunjukkan pertambahan berat badan antara 21 hingga 47 peratus seterusnya membolehkan mereka keluar dari hospital lebih awal.
Antara faedah yang diperoleh oleh bayi yang diurut adalah seperti berikut:
1.      Membantu pembesaran fizikal bayi.
2.      Menguatkan ketahanan tubuh badan.
3.      Membina keyakinan diri.
4.      Membantu bayi berasa tenang dan selesa.
5.      Mengeratkan ikatan kasih sayang antara ibu dan ayah.
Sebelum memulakan urutan pada bayi pastikan anda berdua benar-benar bersedia untuk mengurut dan diurut.
Beberapa langkah berikut boleh digunakan sebagai panduan berguna.
a.      Pastikan anda selesa dan tidak diganggu selama 15 minit. Mainkan muzik yang berentak perlahan  untuk memberi ketenangan dan kedamaian kepada ibu dan bayi.
b.      Pastikan keadaan bilik berhawa sederhana hangat sepanjang waktu mengurut. Bentangkan selimut atau kain yang lembut untuk membaringkan bayi.
c.       Urutan paling sempurna dapat dilakukan jika bayi berkeadaan tidak berbaju dan berseluar, sebaik-baiknya selepas mandi.
d.      Penggunaan minyak bayi yang lembut boleh mengurangkan geseran ke atas kulit bayi. Gosok kedua-dua belah tangan untuk memanaskan tangan sebelum menyentuh bayi. Sapukan minyak secukupnya di tangan supaya boleh mengurut dengan lebih mudah.
e.      Mulakan dengan sentuhan yang lembut. Tambahkan tekanan secara perlahan-lahan apabila yakin bayi kelihatan selesa.
f.        Pandang mata bayi, menyanyi atau bercakap dengannya sambil mengurut.
g.      Seelok-eloknya masa mengurut adalah sama setiap hari agar bayi dapat merasainya sebagai satu rutin.
h.      Disarankan bermula dari kepala hingga ke hujung kaki, kemudian baru beralih ke bahagian belakang kaki.

untuk sekecik ku sayang